JUMAAT, 26 MEI 2023
MIRI: Ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) memainkan peranan penting dalam membantu menyebarkan dasar-dasar Kerajaan Sarawak kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, KMKK merupakan barisan pemimpin akar umbi yang menjadi ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan.
Jelasnya, mereka juga perlu peka dengan dasar-dasar baharu yang diumumkan kerajaan dan menyampaikan maklumat tepat kepada anak-anak buah mereka.
Beliau berkata demikian semasa menyaksikan majlis pelantikan dan pelanjutan KMKK bagi kawasan Piasau di sini pada Jumaat.
Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau memberitahu, seramai lima KMKK menerima sijil pelantikan lanjutan mereka bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Majlis tersebut menyaksikan pelantikan baharu dua kapitan iaitu Leong Chin lim dan Chan Chai Ping bagi kawasan Pusat Bandar Miri dan Piasau bermula 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2026.
Dalam majlis sama, Residen Miri Jamalie Busri turut mengingatkan agar KMKK yang dilantik memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan di peringkat akar umbi. -EDISI UKAS