JUMAAT, 26 MEI 2023
LAWAS: Bandar Lawas bersiap sedia menjadi tuan rumah bagi pelancaran Konvoi Kembara Sarawak Merdeka dan Pameran Digital bersempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan merasmikan kedua-dua majlis tersebut di sini pada pagi Ahad.
Dalam pada itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah turun padang bagi meninjau sendiri tahap persiapan yang telah dilakukan pada petang Jumaat.
Beliau turut ditemani Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta ketua-ketua jabatan yang lain.
Datuk Amar Awang Tengah memulakan tinjauan di tapak perasmian sebelum beralih ke tapak Pameran Digital di lokasi berdekatan dan kemudiannya meninjau ke tapak Sarawak Kitchen.
Sementara itu, Premier Sarawak dijangka tiba pada pagi Sabtu untuk mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri (SDCCM) di sebuah hotel di sini sebelum melawat ke beberapa projek Kerajaan Sarawak.
Pada sebelah malam Sabtu pula, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari akan menyempurnakan satu majlis makan malam di Stadium Tertutup Lawas. -EDISI UKAS