Program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ 2023 Tarik Pelancong Dalam Kalangan Pelajar Luar Negara

JUMAAT, 26 MEI 2023

KUCHING: Program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ 2023 merupakan antara platform terbaik bagi menarik ketibaan pelancong dalam kalangan pelajar dari luar negara ke negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, melalui beberapa siri bengkel, seminar dan lawatan lapangan, para peserta berpeluang meneroka budaya tempatan sekaligus membolehkan mereka belajar daripada penduduk tempatan.

“Alangkah baiknya jika kita dapat membangunkan inovasi rentas sempadan yang boleh memberi manfaat kepada negara di rantau ini, terutamanya.

“Kerajaan Sarawak mengalu-alukan sebarang inisiatif yang boleh merangsang pelbagai sektor khususnya industri pelancong negeri ini. Justeru kita menggalakkan rakyat kita untuk menjadi inovatif.

“Dengan itu, saya berharap para peserta bukan sahaja seronok sepanjang program ini tetapi juga menimba ilmu yang bermanfaat dan memanfaatkan kemahiran serta pengetahuan ini di negara mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan program ‘Come Discover Bumi Kenyalang 2023’ di sini pada Khamis.

Untuk rekod, program tersebut disertai lebih 30 orang pelajar dari universiti luar negara termasuk Indonesia dan Kemboja.

Antara tujuan lain program ini diadakan adalah untuk menyediakan pengalaman dan pembelajaran bagi pelajar yang komprehensif di samping mendedahkan mereka kepada budaya persekitaran baharu. 

Program tersebut berlangsung selama dua minggu bermula 15 hingga 26 Mei anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak.

Hadir sama, Timbalan Rektor Program Sarjana Muda Antarabangsa Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pengurusan Kemboja Makara Say serta wakil-wakil dari Universitas Pancha Bhakti dan Universitas Tanjung Pura. -EDISI UKAS

add comment