SABTU, 27 MEI 2023
LAWAS: Warga Sarawak diseru agar terus menjaga dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan yang dimiliki di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, aspek perpaduan dalam perbezaan merupakan kekuatan Sarawak yang tidak dapat ditandingi negeri-negeri lain.
“Inilah masa depan kita. Kita telah berjaya selama 60 tahun, tetapi, yang penting ialah perpaduan dalam kalangan kita yang mempunyai perbezaan tetapi hidup dalam sebuah keluarga.
“Perpaduan kita begitu kukuh. Sebab itu, Yang Di-Pertuan Agong sendiri datang untuk merasmikan Minggu Perpaduan kerana Sarawak adalah contoh kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam komuniti Bersama YAB Premier Sarawak di Stadium Tertutup Lawas pada malam Sabtu.
Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menegaskan, kestabilan negeri ini membolehkan kerajaan Sarawak menumpukan kepada pembangunan ekonomi serta meningkatkan lagi kekuatan sedia ada.
“Selepas penularan wabak COVID-19, saya mengumpulkan golongan pakar untuk membincangkan kaedah memulihkan ekonomi kita.
“Saya menubuhkan Sarawak Economic Action Council, dari situ lahirnya dasar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 menuju ke arah tahun 2030 supaya Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi,” katanya lagi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi serta dif-dif kehormat yang lain. -EDISI UKAS