AHAD, 28 MEI 2023
KUCHING: Budaya dan adat tradisi kaum Bidayuh mampu menjadi tarikan kepada pelancong setempat dan luar negara.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, beliau akan membincangkan pelan dengan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom bagi membina rumah panjang dan baruk di Kampung Semeba sebagai tarikan pelancong dari luar Sarawak dan luar negara.
“Kita haruslah berusaha memperkenalkan dan menghidupkan budaya dan tradisi Bidayuh melalui pelbagai aktiviti yang menarik,” jelasnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Rami Gawia Semeba 2023 di sini pada Sabtu.
Beliau juga menggalakkan komuniti setempat di Semeba untuk mempromosikan warisan budaya kepada platform tempatan dan global melalui media sosial.
Dalam majlis yang sama, Datuk Amar Douglas juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 yang akan disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi kerja membaik pulih Rabak Semeba sebagai tapak keagamaan ‘Station of the Cross’.
Selain itu, beliau juga telah meluluskan dana sebanyak RM40,000 bagi program Rami Gawia Semeba 2023 ini dalam usaha mempamerkan budaya Bidayuh.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ir Lo Khere Chiang, Pengarah Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambud, Penolong Pesuruhjaya Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Lukas Aket, Ketua Kaum Kampung Semeba Thomas Gown dan Pengerusi Pengelola Rami Gawia Semeba Wes Mirid. -EDISI UKAS