AHAD, 28 MEI 2023
BELAGA: Pesta Ladong Bio Lepa Ajau 2023 membantu dalam mengangkat martabat dan memperkenalkan identiti etnik Orang Ulu di mata dunia.
Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata, pesta sebegini sudah pastinya menggalakkan perpaduan dan toleransi di antara rakyat Sarawak.
“Jangan terlalu terkongkong dengan stigma bahawa kebudayaan itu merupakan satu batu sandongan di dalam kepercayaan kita.
“Kalau ada adat dan kebudayaan yang tidak sesuai, kita tinggalkan.
“Tetapi kalau ada adat dan kebudayaan yang memperkukuh dan menaikan martabat supaya kita lebih dikenali, kenapa tidak dikekalkan dan dimartabatkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pesta Ladong Bio Lepa Ajau 2023 di Uma Badeng, Lg. Dungan, Belaga pada Sabtu.
Jelasnya lagi, budaya Orang Ulu merupakan kebudayaan yang membanggakan rakyat Sarawak mahupun di Malaysia.
“Oleh yang demikian bermula dari kita sebagai pemimpin, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum, berharap kita cuba dari sekarang untuk memiliki satu set pakaian tradisi etnik kita sendiri untuk digunakan semasa hari keramaian seperti ini,” ujarnya.
Dalam majlis sama Datuk Liwan turut menyampaikan bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Badeng Long Dungan berjumlah RM10,000 dan Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) berjumlah RM15,000.00.
Pesta Ladong Bio Lepa Ajau merupakan acara tahunan PKKS Cawangan Sungai Asap Belaga dan tahun ini merupakan tahun ke-10 penganjurannya.
Pesta itu melibatkan semua rumah panjang etnik Kenyah yang ada di Daerah Belaga termasuk dari Data Kakus dan Tubau melibatkan lebih kurang 44 orang Paren Lepo (Ketua Kaum) masyarakat Kenyah yang hadir.-EDISI UKAS