AHAD, 28 MEI 2023
TEBEDU: Kampung Sungan di sini telah menubuhkan Unit Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) sebagai platform kepada golongan belia di situ melaksanakan pelbagai aktiviti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkata, peranan unit SABERKAS ini penting sebab 70 peratus keahliannya adalah golongan belia dan dengan itu tanggungjawab mereka sangat penting bukan sahaja di peringkat kampung atau daerah tetapi di peringkat negeri.
Beliau berharap SABERKAS Sungan akan mampu menjadi penggerak minda masyarakat dan khususnya para belia di kampung ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pra Gawai dan Perasmian Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Kampung Sungan di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Dr Simon mengumumkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2024 bagi Kampung Sungan sebanyak RM150,000 bagi pembinaan jalan ke tapak penempatan baharu dan sebanyak RM6,000 kepada Projek Penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Manakala, sebanyak RM5,000 masing-masing telah diperuntukkan kepada SABERKAS Sungan dan kaum ibu serta projek membina baharu jalan ke dewan serbaguna.
Jelasnya lagi peruntukan RTP dan MRP itu bukan hanya untuk 59 buah kampung tetapi juga untuk membantu semua sekolah rendah dan menengah di kawasan Tebedu.
Turut hadir ialah wakil Pegawai Daerah Tebedu Muhd Faiz Rusydi Bolhassan, Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia Ronzie Tom Sulong, Pengerusi SABERKAS Kampung Sungan Laurence Baka dan Penghulu Gaup Takip. -EDISI UKAS