ISNIN, 28 MEI 2023
KUCHING: Austria berhasrat untuk memperkuatkan hubungan dengan Malaysia, khususnya dalam konteks Sarawak.
Ke arah itu, Duta Besar Austria ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Andreas Launer bersama delegasinya telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada Isnin.
Bercakap kepada media selepas kunjungan tersebut, TYT Andreas Launer memberitahu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menyambut baik hasrat pihaknya untuk melabur dan memanfaatkan peluang yang ada di negeri ini.
Ujar beliau, pihaknya telah menggariskan potensi kerjasama dalam pelbagai sektor dan berharap dapat menjalin kerjasama jangka panjang dengan Sarawak.
“Kami sangat kukuh dalam teknologi seperti tenaga mampan, teknologi hijau, pengangkutan awam, pelancongan, perubatan dan lain-lain.
“Oleh itu, kami ingin menawarkan sokongan sepenuhnya kepada kerajaan Sarawak dalam semua bidang yang diperlukan dan berharap dapat memberikan manfaat kepada Sarawak dalam bentuk pelaburan masa depan dan perkembangan ekonomi,”katanya.
TYT Andreas Launer menambah, dengan adanya kerjasama yang erat antara Austria dan Sarawak, beliau yakin akan terciptanya peluang-peluang perniagaan baru yang saling menguntungkan kedua belah pihak.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah Pegawai Ekonomi Reinhart Zimmermann, wakil Syarikat Andritz Hydro Michael Oggie, wakil Syarikat INNIO Jenbacher Nicholas Leong, wakil Syarikat Pessl Instruments Vishnu Nair, wakil Syarikat Aqua Engineering Friedrich Oberbucher dan wakil Syarikat Vamed Robert Burger.-Edisi UKAS