Ordinan Bangunan Sarawak Akan Dikemaskini

29 MEI 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) komited untuk mengemas kini Ordinan Bangunan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri akan terus menjalankan tanggunjawab meneliti ordinan tersebut.

“Sarawak mempunyai autonomi ke atas Ordinan Bangunan berbeza dari negeri lain di Malaysia.

“Sehubungan itu, ordinan kini berada di tangan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAG) dan kita berharap agar dapat membentangkannya pada bulan November,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2023 dan Pra Pelancaran ‘Malaysia Day Community Fun Run 2023’ di sini pada Isnin.

Dalam majlis sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak bersama Yayasan Farley atas usaha menganjurkan kempen kesedaran kepada masyarakat setempat.

Turut hadir Pengarah JBPM Sarawak Datu Khirudin Drahman serta Presiden Yayasan Farley Eijing Lau. –EDISI UKAS

add comment