ISNIN, 29 MEI 2023
KUCHING: Pengamal media pada masa kini menghadapi cabaran yang semakin rumit, memerlukan mereka untuk berhati-hati dalam memastikan setiap berita yang disampaikan adalah benar dan sahih.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, perubahan teknologi dan kemajuan digital telah mengubah cara penyampaian berita, mempercepat penyebaran maklumat dan meningkatkan risiko penyebaran berita palsu.
Oleh itu menurutnya, dalam menghadapi cabaran ini, pengamal media perlu berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kebenaran berita sebelum menyampaikannya kepada masyarakat.
“Kadang-kadang berita yang tidak betul boleh menyebabkan kebencian, fitnah yang melampau dan sebagainya. Kesilapan noktah atau koma pun membawa erti yang berlainan.
“Antara tanggungjawab kita adalah untuk menyampaikan sesuatu yang benar dan sahih serta tanggungjawab moral kita adalah untuk memastikan walaupun berita itu benar, ia tidak memberi keresahan atau menimbulkan isu terutama sekali yang melibatkan perkara-perkara sensitif seperti perkauman mahupun keagamaan yang sering dimainkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab,”katanya.
Datuk Abdullah berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Teh sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Isnin.
Sementara itu, beliau juga menegaskan bahawa selain memainkan peranan penting dalam masyarakat sebagai penjaga kebenaran dan pemberi maklumat yang boleh dipercayai, pengamal media turut bertindak sebagai perantara antara masyarakat dan pemimpin.
Justeru tambahnya, dalam menjalankan tugas, mereka harus terus menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia media dan menjaga integriti profesion untuk memenuhi harapan dan kepercayaan masyarakat.
Hadir sama di majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzruddin Abdul Rahman, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Dato Norhyati Ismail, Pengarah UKAS Samuel Simon, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Jaafar Jantan, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Sarawak Nasrul Hakim Md Noh, Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak Andy Jong dan warga pengamal media Sarawak.-Edisi UKAS