ISNIN, 29 MEI 2023
KUCHING: Sarawak bersedia menjadi tuan rumah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada tahun depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri akan membantu termasuk menyalurkan peruntukan berkaitan.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga komited untuk menyediakan persekitaran serta kemudahan yang sesuai untuk menjayakan progam peringkat nasional tersebut.
“Selain menjadikan ia platform untuk meningkatkan kualiti penyampaian berita, Sarawak juga ingin mempamerkan contoh keakraban dalam masyarakat majmuk kepada wartawan-wartawan dari seluruh negara.
“InsyaAllah kalau Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Mohamed Fadzil bersetuju, kita boleh menganjurkan HAWANA di sini tahun depan, dari segi kewangan, kita serahkan kepada Datuk Abdullah Saidol untuk uruskan,” katanya.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Teh sempena HAWANA 2023 Peringkat Sarawak di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, kerajaan negeri juga akan membantu
Persatuan Wartawan di Sarawak bagi peningkatan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang kewartawanan.
“Selain itu, kita juga akan mengadakan Persidangan Media mengenai kewartawanan dalam usaha meningkatkan kualiti pelaporan termasuk latihan praktikal antara universiti dengan kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa pengamal media dengan latar belakang profesional yang berbeza khususnya dalam bidang kewangan, perbankan, ekonomi mahupun sains amat penting dalam industri media masa kini.
Menurutnya, dengan kelebihan sedemikian, ia membolehkan penyampaian berita dilakukan dengan lebih mendalam, terperinci dan tepat di samping segala isu dapat diterangkan dengan cara yang mudah difahami oleh semua lapisan umur.
“Kita mahu wartawan kita ‘multidiscipline’, mempunyai latar belakang Sains supaya mereka tahu apa itu alga, bagaimana Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) dikeluarkan dan banyak lagi.
“Kalau boleh saya ingin kita tingkatkan kualiti penyampaian kita dengan latar belakang wartawan dari semua bidang termasuk kewangan dan perbankan, ekonomi serta sains. ini akan memberikan idea-idea kepada pembaca,”tambah beliau.
Hadir menyerikan lagi majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzruddin Abdul Rahman, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Dato Norhyati Ismail, Pengarah UKAS Samuel Simon, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Jaafar Jantan, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Sarawak Nasrul Hakim Md Noh, Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak Andy Jong serta pengamal media Sarawak.
Dianggarkan juga seramai 250 orang pengamal media di negeri ini memeriahkan sambutan HAWANA 2023 peringkat negeri yang julung kali diadakan itu.-Edisi UKAS