SELASA, 30 MEI 2023
SIBU: Seramai tujuh orang ketua masyarakat bagi DUN Bukit Assek menerima watikah pelantikan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek dalam satu majlis pada Isnin.
Dalam majlis itu, seorang Penghulu, tiga orang kapitan dan dua orang ketua kampung dan tuai rumah panjang telah dilantik semula manakala seorang tuai rumah panjang dilantik baharu.
Antara Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) yang telah dilantik bagi kawasan Bukit Assek adalah Penghulu Chua Hiong Kee, Kapitan Kuo Chin Woo, Kapitan Sim Tang Siok @ Sim Tang Fei, Kapitan Peter Lau Ik Yang, Ketua Kampung Mohd. Ali Serani, Tuai Rumah Monica Jelira Jugah dan Tuai Rumah Andrew Jalin Jatok.
Tempoh lantikan bagi yang dilantik semula akan berakhir sehingga 31 Disember 2024, manakala lantikan baru pula akan tamat pada 31 Disember 2026 kelak.
Sementara itu, Chieng berkata, kerja-kerja menaik taraf bahagian Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dijangka bermula pada penghujung Jun atau Julai ini.
Jelasnya, Jalan Tun Ahmad Zaidi Andruce merupakan jalan raya yang sangat sibuk dan beliau difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyiapkan tender pada penghujung bulan ini membabitkan jangkaan dua kilometer bahagian jalan itu.
Katanya lagi, bagi menyelesaikan masalah bahagian jalan ini, JKR juga dicadangkan supaya membuat tambak cerucuk di beberapa bahagian jalan terutama bahagian jalan yang mendap agak teruk kerana keadaan tanah jalan yang tidak baik dan cerucuk benteng akan menjadi penyelesaian yang lebih kekal kepada masalah tersebut.
Tambah beliau, cadangan pemasangan cerucuk di jalan itu juga telah dibincangkan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dengan pihak JKR akan menjalankan penyelidikan dan merangka pelan sebelum membincangkannya. – EDISI UKAS.