SELASA, 30 MEI 2023
KUCHING: Jawatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) merupakan nadi utama masyarakat luar bandar terutamanya dalam menyelesaikan isu-isu permasalahan dalam kampung.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata mereka yang memegang jawatan KMKK haruslah berkaliber serta berpengetahuan luas untuk menyelesaikan aduan penduduk kampung masing-masing.
“Dalam kawasan luar bandar, peranan dan tanggungjawab ketua masyarakat dan ketua kaum amat besar kerana semua jenis urusan dan aduan dibuat melalui mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penghargaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum N.15 Asajaya di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menambah, individu yang memegang jawatan KMKK merupakan harapan wakil rakyat untuk mengetahui isu serta cadangan pembangunan di bawah kawasan seliaan masing-masing.
Justeru, pencalonan jawatan tersebut perlu dibuat secara terperinci untuk mencari individu yang mampu memikul tanggungjawab tersebut.
“Sebelum seseorang itu dicadang untuk menjadi seorang KMKK, banyak penyelidikan dilakukan untuk ‘merisik’ latar belakang individu tersebut,” jelas beliau.
Dalam majlis tersebut, seramai lapan individu telah menerima lantikan baharu, 14 lantikan semula dan empat individu yang telah tamat tempoh perkhidmatan diberikan penghargaan.
Sehubungan itu, beliau berharap agar mereka yang meneruskan perkhidmatan dan lantikan baharu dapat melaksanakan tanggungjawab tanpa melihat kepada ganjaran sebaliknya melihat kepada sumbangan yang boleh mereka berikan khususnya dalam pembangunan kampung masing-masing.
Beliau yang turut diiringi oleh Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat meluangkan masa dalam jamuan makan tengah hari yang dihadiri lebih 40 orang KMKK bahagian Asajaya. – EDISI UKAS