Persepsi Menara Tiada Kuali Di Sarawak Kurang Tepat

SELASA, 30 MEI 2023

KUCHING: Persepsi mengenai isu menara tiada kuali atau ‘naked tower’ di Sarawak adalah kurang tepat. 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, perkara tersebut mula timbul disebabkan kerja-kerja pemasangan peralatan di menara Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) fasa pertama telah terjejas semasa tempoh pandemik COVID-19. 

“Persepsi atau tanggapan “nakedtower”atau menara tiada kuali mula timbul disebabkan kerja-kerja pemasangan peralatan di menara SMART fasa pertama telah terjejas semasa tempoh pandemik COVID- 19.

“Keadaan ini menjadi lebih runcing kerana bekalan peralatan telekomunikasi terganggu secara global,”katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Jelas Datuk Julaihi lagi, kesemua menara tersebut telah mula dipasang dengan peralatan telekomunikasi secara berperingkat oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC). 

“Kerja-kerja pemasangan ini sedang giat dilaksanakan di pelbagai peringkat di mana 197 buah menara telah dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi. 

Daripada jumlah tersebut 70 buah menara telah beroperasi sejak Hari Raya yang lepas dan 55 buah menara lagi dijangka beroperasi pada masa Gawai akan datang. Keseluruhan menara SMART fasa pertama akan dijangka beroperasi sepenuhnya atau “on-air” pada suku ketiga tahun 2023,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa fasa kedua menara SMART yang juga melibatkan pembinaan 300 buah menara sedang giat dilaksanakan dalam pelbagai peringkat dan dijangka beroperasi “on-air” pada suku pertama tahun 2024.-EDISI UKAS 

add comment