Serian Eco Run Cross Country 2023 Bakal Berlangsung 13 Ogos Ini

SELASA, 30 MEI 2023

SERIAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Serian Eco Run Cross Country 2023 Kamar Majlis Daerah Serian pada Selasa.

Dalam mesyuarat tersebut, beliau memutuskan untuk menganjurkan Serian Eco Run Cross Country 2023 pada 13 Ogos 2023 dan dijangka disertai seramai 400 peserta dari seluruh Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, ia kali kedua Majlis Daerah Serian menganjurkan acara itu untuk mempamer dan mempromosikan budaya kaum Bidayuh di Tebedu serta menikmati keindahan alam semulajadi sepanjang laluan marathon.

Dalam acara tersebut, peserta akan merentasi tiga buah kampung selaras dengan nama program bermula dari Kampung Daha Kisau seterusnya Kampung Daha Mawang dan ditamatkan di Kampung Daha Seroban.

Selain mempromosikan budaya kaum Bidayuh di Tebedu, objektif program ini dijalankan adalah untuk membantu meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat, menarik kedatangan pelancong ke Bahagian Serian, mempromosikan kawasan pedalaman Serian dan membudayakan aktiviti sukan sebagai salah satu cara hidup yang sihat.

Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Serian Aswandy Anis, Timbalan Setiausaha Majlis Daerah Serian Mahathir Za’afar, wakil Residen Daerah Serian Wee Chung Yee, wakil Daerah Tebedu Mohamad Faiz dan agensi-agensi yang terlibat dalam program tersebut. – EDISI UKAS

add comment