37 JKKK Iban Terima Geran MRP Sempena Sambutan Hari Gawai Dayak

RABU, 31 MEI 2023

SEBUYAU: Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM51,950 telah diagihkan kepada 37 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kaum Iban bersempena sambutan Gawai Dayak 2023.

Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli telah menyerahkan sumbangan tersebut di sini pada Rabu.

Menurut beliau, objektif penyampaian tersebut adalah untuk meringankan beban kewangan serta menceriakan golongan kurang berkemampuan sempena sambutan Hari Gawai Dayak yang bakal tiba.

Mohamad Shafizan turut mengingatkan JKKK serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang menerima geran berkenaan agar menggunakannya untuk melaksanakan aktiviti di peringkat rumah panjang dan kampung, malah sebagai persiapan menyambut perayaan Hari Gawai.

“Semoga hubungan sesama kita tanpa mengira kaum, agama semakin rapat kerana perpaduan dalam kepelbagaian adalah teras penyatuan kita di Sarawak,” ujarnya.

Beliau turut menjemput semua yang hadir untuk bersama-sama memeriahkan Rumah Terbuka Gawai Raya Peringkat Parlimen Batang Lupar di Dataran Tandang Sari pada Sabtu depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka menyempurnakan majlis tersebut.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Penghulu Japang Sudin dan Penghulu Abu Seman Suhaili. -EDISI UKAS

add comment