Raptai Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2023 Berjalan Lancar

Rabu, 31 Mei 2023

KUCHING: Raptai penuh bagi Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2023 berjalan lancar di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah hadir bagi meninjau segala persiapan akhir serta mengenal pasti gambaran penuh mengenai perjalanan program yang akan dilaksanakan. 

Beliau turut ditemani Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat.

Dalam pada itu, majlis tersebut akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 1 Jun ini. 

Orang ramai turut dijemput hadir bagi memeriahkan majlis tersebut dari jam 10 pagi hingga 4 petang. 

Selain disajikan dengan pelbagai juadah tempatan, para hadirin juga akan dapat merasai kemeriahan sempena sambutan Hari Gawai menerusi pelbagai pengisian program termasuk persembahan-persembahan tradisional, tarian serta nyanyian diiringi live band. -EDISI UKAS

add comment