Konvoi Kembara Bahagian Miri Bermula, Jelajah 57.8 KM Merentasi Daerah Miri

AHAD, 4 JUN 2023

MIRI: Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Miri kini bermula dengan jelajah merentasi daerah Miri setelah simbolik pelepasan (‘Flag Off’) disempurnakan oleh Residen Bahagian Miri Jamalie Busri.

Jamalie menyempurnakan acara pelepasan konvoi di Perkarangan Kompleks Islam Sarawak Miri tepat pada jam 9.30 pagi Ahad dengan membunyikan ‘air horn’ serta mengibarkan Bendera Sarawak dan Bendera 60 Tahun Sarawak Merdeka di mana beliau seterusnya turut bersama mengiringi konvoi berkenaan.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri kepada semua peserta konvoi disusuli dengan bacaan doa oleh wakil daripada Ketua Masyarakat Daerah Miri.

Konvoi Kembara Daerah Miri ini diketuai oleh Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof serta melibatkan 30 peserta bermotosikal dan dua buah kenderaan Pejabat Residen Miri, sebuah kenderaan Unit Komunikasi Awam Sarawak selain diiringi sebuah kenderaan peronda polis dan dua buah kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri.

Dalam pada itu, rombongan konvoi telah melalui perjalanan sejauh 57.8 kilometer (km) dengan bersinggah di tiga lokasi ‘pit stop’ iaitu Universiti Curtin Malaysia, Luak Esplanade Miri dan Coco Cabana Miri sebelum menamatkan jelajah di perkarangan Majlis Bandaraya Miri.

Bendera 60 Tahun Sarawak Merdeka dan Bendera Sarawak kemudiannya diserahkan oleh Jamalie kepada Siti Rohanie sebagai simbolik Konvoi Kembara kini berada di Daerah Miri.

Sementara itu, Siti Rohanie dalam ucapannya menzahirkan perasaan gembira setelah rombongan konvoi berjaya menamatkan perjalanan merentasi daerah Miri.

“Ini amat bermakna kepada penduduk Daerah Miri khususnya kerana ianya mencerminkan semangat dan kesepakatan dalam menyambut Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka,” katanya.

Jamalie ketika ditemui media pula menaruh perasaan berpuas hati dengan permulaan Konvoi Kembara Bahagian Miri.

“Selepas ini, konvoi akan diteruskan ke daerah-daerah lain di bahagian Miri,” jelasnya.

Konvoi seterusnya adalah dijadualkan pada 5 Jun bagi daerah Subis, 6 Jun bagi daerah Beluru serta daerah Telang Usan dan 7 Jun bagi daerah Marudi yang juga merupakan destinasi terakhir sebelum Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Miri bertukar ‘baton’ dengan bahagian Bintulu pada 10 Jun nanti di mana Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut akan mengetuai jelajah dari bahagian Miri ke bahagian Bintulu tersebut.

Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit, Pemanca Daerah Miri Abang Mohamed Dato Sri Abang Othman serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Miri. -EDISI UKAS

add comment