SMDS Sertai Simposium Tenaga Hijau & Pameran 2023 Pada 7 & 8 Jun Ini

SELASA, 6 JUN 2023

KUCHING: Sarawak Microelectronics Design Semiconductor (SMDS) mengumumkan penyertaannya dalam Simposium dan Pameran Tenaga Hijau 2023 yang akan diadakan pada 7 dan 8 Jun ini.

Penyertaan SMDS dalam acara tersebut selaras dengan Matlamat Strategik Sarawak 2023-2027 iaitu mencerminkan komitmen syarikat tersebut untuk memacu pembangunan mampan di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariman Jamil berkata, penyertaan SMDS akan menarik pihak berkepentingan yang berkaitan untuk bekerjasama dengannya bagi memenuhi matlamat Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta peralihan berterusan ke arah teknologi hijau.

Shariman berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh SMDS pada Selasa.

Dalam acara itu nanti, Shariman akan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Reimagining the Sarawak Sustainable Digital Future’ untuk menarik golongan muda tempatan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam penyediaan ekosistem Sarawak dan meletakkan Sarawak sebagai salah satu hab reka bentuk litar bersepadu (IC) yang terkemuka.

Dalam pada itu, beliau menambah, satu majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bersama pihak berkepentingan akan diadakan pada minggu depan yang bakal disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Selepas itu katanya, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) akan melancarkan program ‘Transformasi Ekonomi Digital Sarawak: Pembangunan Bakat Dalam Program Semikonduktor & Reka Bentuk Cip’ pada September depan. -EDISI UKAS

add comment