KHAMIS, 10 OGOS 2023
KUCHING: Festival muzik terbesar di Borneo, Borneo Sonic 2023 bakal menggegarkan Stadium Sarawak pada 6 dan 7 Oktober ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival muzik itu akan menampilkan bintang-bintang K-pop terkenal seperti Taeyang dari kumpulan Big Bang, CL daripada kumpulan 2NE1, Suho daripada kumpulan EXO dan HYO daripada kumpulan Girls Generation.
Menurutnya, selain barisan artis K-pop, Borneo Sonic 2023 turut menampilkan barisan artis antarabangsa dari Australia, Amerika dan artis tempatan tanah air.
“Kami berharap acara ini akan membantu meningkatkan ekonomi tempatan kita dan menjadi acara kemuncak tahunan dan acara utama di Sarawak untuk beberapa tahun akan datang,” ujarnya dalam sidang media Borneo Sonic 2023 di Baitulmakmur II di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Borneo Sonic 2023 dijangka mampu meenarik kira-kira 30,000 orang pengunjung sepanjang dua hari ia berlangsung kelak.
Katanya, Borneo Sonic 2023 dianjurkan bersama oleh BME (International) Malaysia Sdn Bhd, Skyline Entertainment dan Dream Factory Entertainment.
“Harga tiket yang dijual adalah di antara RM488 hingga ke RM1,288.
“Lebih menarik tiket bagi acara tersebut dan boleh dibayar secara ansuran,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai Borneo Sonic 2023 boleh didapati menerusi laman web rasmi di www.borneosonic.com.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini ,Pengarah Urusan, BME (International) Sdn. Bhd, Steven Au dan Ketua Pegawai Eksekutif Place Borneo Sdn Bhd, Mona Abdul Manap.-EDISI UKAS