SELASA, 29 OGOS 2023
KOTA SAMARAHAN: Selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019, Pesta Simunjan yang merupakan acara dwi-tahunan kini kembali memeriahkan Daerah Simunjan bermula 17 sehingga 24 September depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris berkata, pesta ini merupakan kali pertama dilangsungkan selama lapan hari berbanding tiga hari pada edisi tahun-tahun yang lepas.
“Dengan mengangkat tema ‘Keharmonian dalam Kemeriahan’ dan slogan #juhnyengokMunjan, pelbagai pengisian dan aktiviti telah dirancang bagi mencorak perjalanan selama lapan hari penganjuran Pesta Simunjan kali ini dengan sasaran pengunjung seramai 100,000 orang.
“Antara acara utama yang akan diketengahkan di Pesta Simunjan adalah Regatta Pesta Simunjan.
“Acara yang akan berlangsung di tebingan Sungai Batang Sadong ini mempertaruhkan 10 kategori dengan menjanjikan pulangan hadiah tunai terkumpul berjumlah RM93,600,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Pesta Simunjan 2023 bertempat di Pejabat Residen Samarahan, disini pada petang Selasa.
Selain itu, katanya, pelbagai aktiviti dan pengisian sempena Pesta Simunjan akan diadakan seperti Bike Gathering, Pertandingan e-Sports Championship, Pertandingan Gendang dan Nopeng dan lain-lain dijangka akan turut menarik penyertaan di peringkat antarabangsa khasnya dari negara-negara jiran seperti Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand.
Secara keseluruhan, lebih 30 aktiviti atau program telah dirangka untuk menarik minat segenap lapisan masyarakat berkunjung ke Pesta ini.
Pada 17 September ini, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dijangka merasmikan pelancaran Pesta Simunjan serta pra pelancaran Simunjan Kitchen.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pula dijangka merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Simunjan 2023 pada 24 September sekaligus melakukan pelepasan bagi acara bidar 30 pekayuh lelaki yang akan membawa gelaran Raja Sungai Pesta Simunjan.
Pada sebelah malam pula, Konsert Malam Penutupan Pesta Simunjan 2023 akan mengambil tempat di pentas utama dengan menampilkan artis-artis seperti Azlan & The Typewriter, Ricky Andrewson dan ramai lagi. -EDISI UKAS