SABTU, 16 SEPTEMBER 2023
KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan Perpaduan supaya kestabilan terus kekal agar kerajaan Persekutuan dapat mentadbir Malaysia dengan lebih fokus dan mampan berpandukan konsep Madani.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penubuhan kerajaan Perpaduan adalah bukti perbezaan tidak menjadi penghalang ke arah perpaduan.
“Sarawak dan Sabah menuntut beberapa perkara khususnya di bawah MA63. Ia tidak bererti Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia tidak boleh bekerjasama dan memperkukuhkan perpaduan demi Malaysia yang tercinta.
“Hanya sebuah kerajaan Persekutuan yang kukuh dalam suasana kestabilan politik yang kekal sahaja yang mampu memikirkan secara fokus keperluan-keperluan di seluruh negara, khususnya keperluan di Sarawak dan Sabah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluannya pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching pada Sabtu.
Jelasnya lagi, Sarawak dan Sabah mempunyai banyak potensi besar yang harus dibangunkan untuk mempertingkat hasilkan negeri dan juga hasil negara.
“Sarawak sudah mula mengorak langkah sejak 2017 berpandukan dasar yang berstruktur untuk memajukan sumber dan potensi negeri ini dengan matlamat menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Selepas mengharungi pandemik COVID-19, Sarawak telah membuat penyesuaian supaya Sarawak terus berada pada landasan yang betul untuk mengejar matlamat tersebut,” ujarnya.
Turut hadir Pemangku Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asia Awang Nasar serta isteri Puan Sri Dato Fatimah Mohd Iskandar, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim serta isteri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta isteri Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi serta isteri Datin Sadiah Buji, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta dif-dif kehormat yang lain.-EDISI UKAS