SABTU,16 SEPTEMBER 2023
ASAJAYA: Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini dimeriahkan dengan aktiviti jelajah berkonvoi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi menyemarakkan semangat patriotik khususnya dalam kalangan komuniti kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, Konvoi Kembara diwakili sebanyak 66 buah motosikal simbolik kepada 66 tahun kemerdekaan Malaysia.
Jelas beliau, konvoi tersebut bermula menyelusuri daripada Wisma Persekutuan Kota Samarahan, Tadika Kampung Tanjung Bundong, Kampung Empila dan berakhir di Perkarangan Dewan Sukan Kampung Tambirat Lot sepanjang 46 kilometer.
“Selain itu kembara tersebut turut menyerahkan sebanyak 100 Jalur Gemilang, deklamasi sajak, pakaian kreatif kanak-kanak, nyanyian lagu patriotik dan mewarna yang melibatkan anak-anak Taska dan Tabika KEMAS bagi menyemai dan menyuntik semangat kemerdekaan dalam diri kanak-kanak,” katanya.
Datuk Rubiah berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Residen Bahagian Samarahan, Mohammad Irwan Bahari Bujang semasa menyempurnakan program itu di Asajaya pada Sabtu.
Kembara kali ini juga turut berpeluang mendekati golongan yang kurang bernasib baik menerusi slot Jelajah Kasih Kampung Empila dengan mengedarkan bakul makanan kepada golongan sasar di kawasan sekitar.
Hadir sama Pengarah KEMAS sarawak, Khairudin Md Nasir, Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri KKDW Tengku Nasarrudin Tengku Mohamed, Pegawai Tugas-Tugas Khas YB Timbalan Menteri KKDW Serta Pegawai-Pegawai Pusat Khidmat Kota Samarahan Mohammad Akmal Firdaus Adib Yusup dan Temenggung Chek Bujang.-EDISI UKAS