SABTU, 16 SEPTEMBER 2023
KUCHING: Semua keluhan rakyat Sabah dan Sarawak yang disuarakan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa program Kembara Kenali Borneo akan diselesaikan sebaik mungkin.
Program Kembara Kenali Borneo yang menyelusuri Lebuhraya Pan Borneo telah berlangsung pada 3 hingga 13 September lepas bagi merealisasikan impian Seri Paduka baginda untuk mendekati rakyat di kedua-dua negeri tersebut.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menerima senarai aduan yang ditulis sendiri oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi kembara 11 hari itu ketika menghadap Al-Sultan Abdullah baru-baru ini.
“Saya hendak memberi jaminan,insyaAllah saya akan menugaskan seluruh jentera untuk meneliti setiap surat ini (sambil memegang surat-surat aduan) dan akan kita selesaikan segera tanpa ada yang tertinggal,” katanya.
Beliau berucap demikian di Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Pemangku Yang Di-pertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini pada Sabtu.
Turut hadir ialah isteri TYT Pemangku Yang Di-pertua Negeri Sarawak Puan Sri Dato Fatimah Mohd Iskandar, isteri Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Sri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta isteri Datin Seri Panglima Juliah Salag, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri bertanggungjawab sambutan Hari Malaysia 2023 Fahmi Fadzil dan Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta semua menteri kabinet Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Dalam ucapan sama, Dato’ Seri Anwar juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) yang memberi kerjasama kuat untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi mewujudkan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, hanya menerusi kerjasama utuh dalam kalangan komponen Kerajaan Perpaduan ini yang mampu membentuk satu keadaan politik yang stabil dan seterusnya menyatupadukan rakyat bagi mengangkat semula ekonomi negara.
“Kita ada keupayaan itu. Kita pernah cuba mencapai mercu yang lebih baik, kemudian kita merudum, jatuh. Sekarang dengan semangat perpaduan ini, dengan keadaan politik yang stabil ini, kerajaan dapat memanfaatkan seluruh kekuatan untuk membela nasib rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Semangat ‘Segulai Sejalai’ yang bermaksud seiring sejalan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang itu berjaya dizahirkan menerusi sambutan yang menghimpunkan lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum dan agama.
Pada majlis itu, Dato’ Seri Anwar telah menandatangani buku khas Hari Malaysia bersama Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah selepas menyaksikan tayangan video khas memaparkan detik-detik bersejarah penubuhan hari Malaysia pada 1963.
Ia disusuli dengan perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dengan iringan lagu ‘Negaraku’
Kemudiannya, lagu ‘Jalur Gemilang’ didendangkan bagi memeriahkan suasana stadium sebelum diakhiri dengan persembahan bunga api pada jam 11.30 malam.-Edisi UKAS