AHAD, 17 SEPTEMBER 2023
SEBUYAU: Permohonan bantuan untuk kemudahan pelbagai sektor di daerah Sebuyau bakal diangkat ke peringkat Persekutuan untuk tindakan lanjut setelah mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mengambil maklum permohonan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi agar perhatian diberikan kepada beberapa isu di sini terutamanya pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau, pembangunan balai polis dan balai bomba serta penanaman semula komoditi kelapa.
Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid berkata, permohonan pembinaan kedua-dua sekolah khususnya akan diutarakan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Saya akan bawa sendiri permohonan untuk membina baru sekolah ini daripada peruntukan Perdana Menteri sendiri.
“Selain itu, (pembangunan semula) SMK Sebuyau juga akan dibawakan kepada peringkat Kementerian Pendidikan di Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Program Santuni Rakyat di dewan SK Haji Bujang Sebangan di sini pada Ahad.
Selain itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memberitahu, bangunan Ibu Pejabat Polis akan dibina bagi daerah Sebuyau manakala pembinaan balai bomba pula akan diusulkan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Bagi industri penanaman semula kelapa pula, beliau telah menawarkan sebuah skim untuk sektor tersebut.
“Untuk kawasan ini, saya telah menawarkan kepada Datuk Julaihi agar (memanfaatkan) skim tanam semula kelapa mengikut benih kelapa yang terbaru dan terbaik iaitu benih kelapa Matag,” ujarnya.
Jelasnya, skim ini berdasarkan penanaman kultur tisu yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran buah kelapa sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat setempat.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid turut memperuntukkan RM10 juta untuk membina sebuah Giatmara di daerah Sebuyau pada bermula tahun ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Julaihi, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli serta Pengerusi Felcra Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. -EDISI UKAS