ISNIN 18 SEPTEMBER 2023
MUKAH: Lebih 2000 orang pengunjung menghadiri Karnival Hari Malaysia di Dataran Pehin Setia Raja di Mukah sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September baru-baru ini.
Pelbagai acara menarik telah disusun untuk menghiburkan pengunjung termasuk persembahan wayang pacak ‘Sarjan Hasan’ lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang dipertontonkan menggunakan layar skrin besar.
Selain itu, terdapat juga acara lain seperti bermukun penyampaian hadiah, persembahan daripada band jemputan, dan acara Neon Fun Ride di mana lebih daripada 50 peserta mempamerkan kreativiti dengan memasang kerlipan neon LED pada basikal mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dalam ucapannya menekankan kepentingan perpaduan rakyat dalam memajukan negara. “Kemajuan sesebuah negara adalah dengan perpaduan rakyat yang sentiasa menghayati sesebuah kemakmuran termasuk perkara asas,” katanya.
Beliau juga mengharapkan Sarawak dapat terus menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia dalam aspek perpaduan dan keharmonian.
Sehubungan itu, Royston juga turut menghargai usaha pemimpin Sarawak yang memberikan keutaman kepada kesejahteraan rakyat seiring dengan kemajuan wilayah ini menerusi pelbagai projek dan inisiatif kerajaan Sarawak.
Turut hadir Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Ketua-ketua Jabatan Temenggung Hendi Suhai, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum.-EDISI UKAS