ISNIN, 18 SEPTEMBER 2023
TELANG USAN: Peranan media kerajaan amatlah penting terutamanya dalam mendapatkan maklumat dan fakta yang sahih.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Malaysia hari ini masih ramai lagi rakyat yang mudah tertipu dengan ‘scammer’ membabitkan kerugian berjumlah puluhan ribu malah hingga jutaan ringgit.
Katanya, permasalahan ini bermula daripada individu tertentu yang mudah percaya dan menghantar maklumat yang tidak sahih.
“Masalahnya adalah kerana maklumat salah yang disampaikan oleh individu tertentu dan sikap sesetengah pihak yang mudah percaya dan akhir terpedaya oleh scammer melalui media-media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Ziarah UKAS Sarawak Maju Makmur Daerah Telang Usan 2023 di Dewan SMK Long Lama pada Ahad.
Justeru katanya, di sinilah bermulanya kepentingan media kerajaan seperti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang boleh dipercayai.
“Peranan UKAS adalah untuk memperbetulkan keadaan. Mereka (UKAS) berkata, jangan terus percaya apa yang dibaca atau diterima dalam mesej,” ujarnya.
Tambahnya, penduduk di Telang Usan boleh tanya kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab seperti pihak polis sekiranya mendapat mesej-mesej berunsur ‘scam’.
Dalam pada itu, Dennis juga berkesempatan memberi hadiah kepada para pemenang deklamasi sajak dan persembahan nyanyian berkumpulan.
Turut hadir Pegawai Tadbir Khas UKAS mewakili Pengarah UKAS Datu Takun Sunggah, wakil Pegawai Daerah Telang Usan Mike Athur Nakabok, Pegawai UKAS Bahagian Miri Dayang Norazelina Hamdan, Pengetua SMK Long Lama Bawie Mamat, Ketua Masyarakat Kaum Cina Long Lama Penghulu Desmond Yap Cheng Siang dan Ketua Kaum Kampung Kayan Long Lama Paul Paren Ibau -EDISI UKAS