ISNIN, 18 SEPTEMBER 2023
LIMBANG: Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang akan menganjurkan Pesta Kebudayaan Tionghoa Antarabangsa 2023 pada 22 hingga 24 September ini bertempat di Amphitheatre Limbang Waterfront yang akan digunakan buat pertama kalinya.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pelbagai pengisian program akan diadakan sepanjang tempoh pesta tersebut berlangsung kelak.
“Melalui Jawatankuasa Perayaan Utama kita mengadakan perayaan-perayaan berasaskan kaum dan untuk masyarakat Tionghoa yang dinamakan Pesta Kebudayaan Cina Antarabangsa.
“Ia akan dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan, Jabatan Perpaduan dengan kerjasama Pejabat Residen dan juga persatuan-persatuan Cina.
“Pada malam itu juga turut diadakan ‘Mooncake Festival’ dan kita akan mengadakan Perarakan Tanglung,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Perayaan Kuih Bulan bertempat di Auditorium Hwa Zhi, SJK Chung Hwa Limbang pada Ahad.
Pada program yang sama, Datuk Dr Abdul Rahman turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada jawatankuasa penganjur Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Perayaan Kuih Bulan selain menyediakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 untuk menaiktaraf Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa dengan penghawa dingin.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan geran berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Hockien Limbang melalui Pusat Khidmat yang diberikan setiap tahun.
Hadir sama Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Penolong Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi, Timbalan Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Adison Langgar Injan, Pengerusi Persatuan Hockien Limbang David Chua Thien Teen, Pengerusi Pengelola Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Perayaan Kuih Bulan Kunselor Liaw Lee Hiong dan Pemanca Leong Boong Ming. -EDISI UKAS