AHAD, 17 SEPTEMBER 2023
SIBU: Sarawak sedang menerajui dalam sektor ekonomi hijau khususnya dalam bidang hidrogen.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, dalam hal ini Sarawak sedang mengurangkan kesan perubahan iklim melalui melabur dalam ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
“Hidrogen merupakan bahan api masa depan dan Sarawak telah bermula dengan bas dan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang dikuasakan oleh hidrogen,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-63 Persatuan Puak Chiang Hsia Huang Tengah Sarawak di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata Sarawak adalah negeri pertama di rantau ASEAN yang menghasilkan hidrogen daripada air.
“Sarawak dipilih menjadi tuan rumah kepada Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa pada tahun 2028 kerana para ahli kongres telah mendengar tentang pencapaian Sarawak dalam penghasilan hidrogen daripada air,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga berkata bahawa peruntukan dana kepada sekolah Cina telah ditambah untuk membantu dalam pembangunan bakat.
Menurut beliau, ini adalah antara usaha meningkatkan pendapatan isi rumah Sarawak supaya menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Dalam majlis yang sama, Premier Sarawak bersama Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Weiping telah menyaksikan Perasmian Jawatankuasa Pelaksana ke-23 Persekutuan Persatuan Huang Malaysia.
Difahamkan, seramai 1,800 orang dari seluruh Malaysia telah menghadiri majlis ulang tahun tersebut.
Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Persatuan Huang Malaysia Dr Ng Choon Seong, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee dan Pengerusi Persatuan Puak Chiang Hsia Huang Tengah Sarawak Wong Ing Huong. -EDISI UKAS