SELASA, 19 SEPTEMBER 2023
KUCHING: Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Kolej Universiti i-CATS akan mengaktifkan semula makmal penyelidikan pertanian di Samarahan untuk menghasilkan makanan haiwan daripada sisa biojisim.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia adalah kerana penghasilan makanan haiwan adalah lebih murah berbanding makanan haiwan yang diimport dari luar negara.
“Jadi kita akan mempunyai makmal sendiri untuk menghasilkan makanan haiwan dan akan diuruskan oleh Kolej Universiti i-CATS di Samarahan jalan menuju ke Asajaya.
“Saya telah memperuntukkan 10 ekar tanah untuk makmal itu di mana satu adalah untuk menghasilkan makanan haiwan dan satu lagi untuk menghasilkan baja.
“Itu akan memperkayakan sektor pertanian kita dan saya memerlukan mereka untuk melakukannya sekaligus pelajar mereka yang berkelayakan ijazah sarjana muda boleh berinteraksi dengan komuniti petani kerana kita sedang membangunkan lebuh raya pesisiran pantai.
“Dalam erti kata lain pelajar ini akan memindahkan teknologi dan sudah tentu mereka perlu menggunakan data ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian ‘Digital Transformation Via Accelerated Applications’ di Kuching, pada Selasa.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, lokasi makmal penyelidikan itu adalah merupakan pusat penyelidikan pertanian sebelum ini.
Katanya lagi, pihak Kolej Universiti i-CATS dipertanggungjawabkan untuk mengambil alih pusat tersebut bagi melaksanakan penyelidikan berkaitan makanan haiwan dan baja.
“Jadi apa yang saya lakukan, kita gunakan pusat ini kemudian saya berikan kepada pihak universiti untuk membuat penyelidikan bersama dengan masyarakat.
“Seperti yang kita sedia maklum kawasan Samarahan adalah merangkumi Gedong hingga ke Sri Aman.
“Jadi seluruh kawasan ini saya minta mereka pantau dan kita mempunyai biojisim daripada kelapa sawit di mana semua bahan buangan ini akan dijadikan makanan haiwan dan baja menggunakan teknologi pihak universiti sendiri,” ujarnya. -EDISI UKAS