SELASA, 19 SEPTEMBER 2023
PADAWAN: Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau lokasi tanah susur di Sekolah Kebangsaan (SK) Puruh Karu di sini pada Isnin.
Beliau meninjau keadaan sekolah tersebut yang terjejas akibat kejadian tanah susur serta membincangkan kaedah yang terbaik bagi menjaminkan keselamatan pelajar sekolah.
Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip memaklumkan bahawa keadaan SK Puruh Karu kini tidak selamat digunakan untuk sesi pembelajaran mana yang telah diistiharkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau mencadangkan untuk menempatkan 73 pelajar yang terjejas di Dewan Parish Gereja Kampung Emperoh Karu sementara sambil menunggu kelengkapan SK Taba Sait di mana mereka meneruskan sesi persekolahan di situ.
Katanya lagi, pemindahan tersebut dijangka akan bermula selewat-lewatnya awal sesi persekolahan tahun 2024.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu akan berusaha memohon Projek Rakyat bagi membina baharu SK Puruh Karu dengan anggaran kos sebanyak RM80 juta.
Menurutnya, SK Puruh Karu perlu dipindahkan ke tapak baharu yang dicadangkan berdekatan Pejabat Daerah Kecil Padawan dan Klinik Kesihatan Braang Bayur.
“Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih terperinci bersama agensi-agensi yang terlibat,” jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Dr Abang Hut Abang Engkeh, Guru Besar SK Puruh Karu Johnatan Jienjald dan Ketua Kaum Kampung Emperoh Karu Noing Sejim. -EDISI UKAS