AHAD, 17 SEPTEMBER 2023
TEBEDU: Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) telah mengadakan satu lawatan kerja di sepanjang Jalan Mongkos, Terbat, Mapu, dan Daha, yang merangkumi kawasan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu dan DUN Kedup, baru-baru ini.
Lawatan yang diketuai Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben ini bertujuan untuk menilai lokasi yang sesuai bagi pemasangan lampu jalan sepanjang laluan tersebut.
Fokus utama adalah untuk mengkaji lokasi yang sesuai bagi pemasangan lampu jalan sepanjang jalan Mongkos, Terbat, Mapu, dan Daha yang membentang sejauh 32 kilometer di samping menilai kos sebenar projek pemasangan lampu jalan berkenaan.
Menurut Martin, pemasangan lampu jalan ini adalah sebahagian daripada perancangan GKCDA yang bertujuan untuk meningkatkan kecerahan dan keselamatan jalan raya di kawasan kedua-dua DUN tersebut.
Jelasnya, kos pemasangan lampu jalan di sepanjang jalan Mongkos, Terbat akan ditanggung bersama oleh beliau sendiri, ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada dan GKCDA.
“Manakala, kos pemasangan lampu jalan dari Terbat ke Mapu ditanggung oleh saya juga, dan dari Mapu ke Daha akan ditanggung oleh ADUN Tebedu,”katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA Datu Ik Pahon Joyik menyatakan bahawa pemasangan lampu jalan ini dijangka akan dimulakan pada tahun depan setelah mendapatkan kertas kerja yang lengkap dari semua agensi yang terlibat, termasuk Syarikat SESCO Berhad (SESCO), Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian, dan Majlis Daerah Serian (MDS).
“Pemasangan lampu jalan di lokasi-lokasi penting seperti persimpangan utama masuk kampung, selekoh tajam dan kawasan yang kerap berlaku kemalangan diharap akan mengatasi masalah jalan gelap, memberikan keselesaan kepada pengguna jalan, terutamanya pada waktu malam dan ketika hujan lebat,”jelas beliau.
Turut menyertai lawatan ini ialah Pemangku Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, wakil ADUN Tebedu Asem Linkin, Pengurus SEB (Kuching Outstation) Patrick Andra Tawang serta anggota-anggota pasukan GKCDA dan agensi terkait.-Edisi UKAS