19 SEPTEMBER 2023
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.67 Jepak pada 25 September depan.
Setiausaha SPR, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak berkata, ini susulan SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN N.67 Jepak pada Selasa.
Menurutnya, Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh di mana tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan.
“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut kelak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Dato’ Indera Ikmalrudin menambah, kerusi DUN N.67 Jepak perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan oleh SPR.
“Ini adalah selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi DUN N.67 Jepak, Sarawak,” katanya lagi.
DUN N.67 Jepak kosong susulan penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip meninggal dunia pada 15 September lepas.-EDISI UKAS