ISNIN, 18 SEPTEMBER 2023
SRI AMAN: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dengan kerjasama Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar telah menganjurkan Jerayawara Projek Jelapang Padi di Tapak Projek SMART-SBB, Tanjung Bijat, di sini pada Isnin.
Program ini bertujuan untuk menyemak perkembangan dan pencapaian dalam Program Sawah Berskala Besar (Smart-SBB) yang berusaha mencapai tahap kemandirian beras sebanyak 75 peratus.
Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, program Smart-SBB melibatkan 124 pesawah dengan kawasan seluas 37 hektar kini sedang dijalankan dengan teliti menggunakan benih MR269 untuk penanaman padi, yang menyasarkan penghasilan 4.5 tan metrik beras setiap tahun.
“Ini adalah peningkatan yang signifikan berbanding tahun sebelumnya yang hanya mencapai 2.5 tan metrik.
“Program Smart-SBB melibatkan 79 pesawah yang dikelola oleh Bernas Pupa juga menggunakan benih MR269.
“Mereka mengusahakan kawasan seluas 35 hektar dengan hasil jangkaan sebanyak 2.0 tan metrik setiap tahun,”katanya semasa ditemui di jerayawara tersebut.
Menurut Dato Sri Rohani lagi, lawatan ke tapak projek ini juga memberi peluang untuk membincangkan beberapa isu yang dihadapi dalam pelaksanaan program, seperti masalah pengadaan benih padi, ancaman burung dan tikus, serta isu harga jualan beras yang masih rendah berbanding dengan Semenanjung.
“Harga jualan beras di sini berharga RM800 se tan berbanding dengan RM1,700 se tan di Semenanjung,”jelasnya lanjut.
Lawatan ringkas ini berjaya merungkai beberapa isu penting dan membolehkan semua pihak mencapai kata sepakat mengenai langkah-langkah penyelesaian yang perlu diambil.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Pengerusi SADA Datuk Amar Jaul Samion, Pegawai Tadbir Khas SADA Datu Indit Bangai, Pemangku Pegawai Daerah Lingga Frank Lani, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sri Aman Mazulizam Mohammad, serta ketua-ketua jabatan lain yang turut memainkan peranan penting dalam memajukan sektor pertanian di kawasan ini.-Edisi UKAS