PETROS & PSEP Meterai PSC, Urus & Tambah Nilai Sumber Tenaga Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  PETROS & PSEP Meterai PSC, Urus & Tambah Nilai Sumber Tenaga Sarawak
0 Comments

SELASA, 23 JANUARI 2024

KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) melalui anak syarikatnya Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn Bhd  (PSEP) telah menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) atau Perjanjian Operasi Bersama di Kuala Lumpur pada Selasa. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PETROS Dato Janin Girie, perjanjian dua perkongsian  tambahan PSC ini membuktikan PETROS dan Sarawak terus dipercayai. 

“Perjanjian dua PSC tambahan ini membentuk sebahagian daripada usaha untuk mengurus dan menambah nilai sumber tenaga Sarawak di samping membangunkan industri tenaga, bakat tempatan dan asas ekonomi secara mampan.

“Kerjasama berterusan dengan rakan kongsi dan pemain industri antarabangsa ini juga merupakan penegasan semula dan ekspresi keyakinan terhadap PETROS dan Sarawak,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan PETROS pada Selasa. 

Kenyataan sama memberitahu, melalui pemeteraian itu, PETROS melalui PSEP kini mengambil bahagian dalam 18 PSC di luar pantai Sarawak, luar pesisir Malaysia dengan kerjasama syarikat minyak dari beberapa negara.

“Sehingga kini, lima daripada PSC luar pesisir ini sedang dalam pengeluaran, dua PSC lagi dalam fasa pembangunan dan baki 10 PSC telah memulakan aktiviti penerokaan,” katanya. 

Difahamkan, dua PSC ini iaitu SK510 and 5E akan dikendalikan oleh PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. dan Sarawak Shell Berhad di bawah di bawah Malaysia Bid Round (MBR) 2023, sebuah pusingan pelesenan tahunan yang dianjurkan oleh Malaysia Petroleum Management, PETRONAS.

PSEP terus terlibat secara aktif dalam aktiviti huluan, termasuk memperbaharui penerokaan dan pengkomersialan darat, serta merancang untuk melabur lebih RM8.5 bilion ‘capital expenditure’ (CAPEX) dalam tempoh tiga tahun akan datang. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *