EU Berminat Jalin Kerjasama Dua Hala Dengan Kerajaan Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  EU Berminat Jalin Kerjasama Dua Hala Dengan Kerajaan Sarawak
0 Comments

JUMAAT, 16 FEBRUARI 2024

KUCHING: Kesatuan Eropah (EU) berminat untuk menjalinkan kerjasama dua hala bersama dengan Kerajaan Sarawak terutamanya dalam peralihan kepada tenaga hijau di negeri ini. 

Duta Besar dan Ketua Delegasi EU, Michalis Rokas berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menunjukkan minat dalam melibatkan diri dengan EU terutamanya pemindahan teknologi, pendidikan dan pertukaran dalam tenaga hijau yang mampan.

Menurutnya, duta negara anggota EU akan terus membawa perbincangan dan perkongsian semasa melawat di Sarawak untuk dibawa ke ibu negara mereka dalam mencari jalan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Kami dari 19 anggota negara EU akan membawa perkongsian ini kembali ke ibu negara kami dengan segera dan kami akan melihat bagaimana kami boleh meningkatkan perkongsian dua hala antara EU dengan Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat. 

Michalis menambah, EU komited mewujudkan perkongsian mampan baharu yang boleh dipercayai dan kawasan peralihan hijau kerana perubahan iklim adalah ancaman wujud kepada manusia. 

“Seperti yang anda lihat di EU mempunyai banyak teknologi dalam bidang ini juga, selain itu kami mempunyai dasar baharu di mana kami cuba mempelbagaikan rakan kongsi kami di seluruh dunia. 

“Antaranya teknologi dalam tenaga baharu seperti bahan api penerbangan mampan dan ketersambungan serta pendigitalan yang sangat penting kepada Sarawak. Ia adalah keutamaan kami,” ujarnya. 

Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Duta Fenny Nuli.

Terdahulu, Premier Sarawak turut menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Mohd Nor Yusof. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *