Jaga Kualiti Lada Sarawak Sebagai Produk Eksport

UKAS  > Edisi-Selatan >  Jaga Kualiti Lada Sarawak Sebagai Produk Eksport
0 Comments

JUMAAT, 16 FEBRUARI 2024

KUCHING: Kualiti dan imej lada sebagai produk eksport berkualiti tinggi Sarawak harus dijaga dan dipertahankan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, penguatkuasaan yang betul untuk peniaga lada Sarawak adalah amat penting.

“Kita tidak boleh membenarkan peniaga yang tidak bertanggungjawab untuk mencampurkan komoditi itu dengan yang berasal dari negara pengeluar lain untuk meningkatkan jumlah eksport mereka.

“Pemalsuan jenis ini boleh memberi kesan buruk kepada reputasi Sarawak dan permintaan luar negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan SaraSpice Sdn Bhd di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat. 

Rombongan MPB telah diketuai oleh Pengerusinya Dato Anyi Ngau manakala SaraSpice diwakili oleh Pengerusinya Dato Sri Doris Sophia Brodie.

Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, Sarawak mempunyai banyak dermaga persendirian di mana lada di luar Sarawak boleh dibawa masuk.

“Kita mesti memastikan eksport lada kita hanya terdiri daripada lada Sarawak tulen yang lebih baik dan berkualiti daripada yang lain,”

Dalam pada itu, beliau menyeru MPB agar mencari jalan untuk meningkatkan pengeluaran lada Sarawak dan menarik lebih ramai belia untuk menceburi bidang pertanian lada.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPB Vincent Sawat dalam taklimatnya memaklumkan bahawa sebanyak 31,841 pekebun kecil mengusahakan kira-kira 5,850 hektar di bahagian Betong, Sarikei, Sibu dan kawasan lain.

Tambahnya, bantuan sejumlah RM15,562,659 telah diberikan kepada pekebun tersebut. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *