Legasi Tun Abdul Taib Mahmud Akan Terus Diingati

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Legasi Tun Abdul Taib Mahmud Akan Terus Diingati
0 Comments

RABU, 21 FEBRUARI 2024

KUCHING: Sarawak kehilangan tokoh yang cukup berwibawa dan tiada galang gantinya susulan pemergian Mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 21 Februari 2024.

Tun Abdul Taib Mahmud telah meninggalkan legasi yang cukup besar dalam membangun dan memodenkan Sarawak dan akan dikenang sepanjang zaman.

Selama 33 tahun mentadbir Sarawak sebagai Ketua Menteri, bermula dari 26 Mac 1981 hingga 28 Februari 2014, Tun Abdul Taib Mahmud membawa dasar ‘Politik Pembangunan’ untuk mengubah wajah Sarawak dari sebuah kawasan terpencil kepada negeri yang progresif dan disegani hari ini.

Sumbangan beliau terhadap Sarawak terlalu besar hingga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam satu majlis baru-baru ini menyifatkan Tun Taib sebagai Bapa Pemodenan Sarawak.

“Beliau menyatukan rakyat dan mewujudkan kestabilan politik di Sarawak di bawah dasar politik pembangunan.

“Beliau juga berperanan penting dalam melaksanakan dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai ekonomi moden, terutama dengan mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” menurut Datuk Patinggi Abang Zohari.

Tun Abdul Taib Mahmud dilahirkan pada 21 Mei 1936 dan menerima pendidikan awal di St Joseph’s Primary School Miri, kemudian melanjutkan pengajian ke St. Joseph’s Institution Kuching.

Keputusan cemerlang yang diperoleh Tun Abdul Taib Mahmud dalam peperiksaan Senior Cambridge melayakkan beliau mendapat biasiswa Shell untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Adelaide di Australia Selatan dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) pada 1960.

Tun Abdul Taib Mahmud juga telah menulis dan menerbitkan beberapa buku Islam dan karya lain termasuk, ‘Nabi Muhammad dan Misinya, Islam dan Kegunaan Umat Manusia’, ‘Kebebasan dalam pemikiran Islam’, dan ‘Strategi yang sesuai untuk pembangunan negara semasa menghadapi kekurangan sumber’.

Tun Abdul Taib Mahmud berkahwin dengan Allahyarhamah Datuk Patinggi Puan Sri Laila Taib yang berketurunan Poland pada 13 Januari 1959.

Pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata – Jamilah Hamidah, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Abdul Rahman Sulaiman dan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Namun, Allahyarhamah Datuk Patinggi Puan Sri Laila meninggal dunia akibat barah pada 29 April 2009 selepas 50 tahun mendirikan rumah tangga.

Pada 18 Disember 2010, Tun Abdul Taib Mahmud telah mengahwini Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib yang berasal dari Lubnan sehingga sekarang.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-7 pada 1 Mac 2014 dan berakhir 25 Januari 2024.

PERJALANAN POLITIK

Tun Abdul Taib Mahmud memulakan perjalanan mengubah Sarawak pada 1963 apabila dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya di bawah kabinet Ketua Menteri pertama, Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

Beliau pernah berkata, membangunkan Sarawak adalah satu tugas yang berat kerana ia merupakan negeri yang mencabar dari segi geografi, luas dan kurang membangun.

Tetapi, beliau berjaya mengharungi cabaran tersebut dengan kebolehan dan bekerja keras melaksanakan projek infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan untuk menghubungkan bandar-bandar utama seperti Simanggang, Sibu Miri dan Limbang sehingga ke Lawas.

Tun Abdul Taib Mahmud kemudiannya dilantik sebagai Hakim Bersekutu kepada Tuan Hakim, Herbert Mayo di Australia Selatan.

Selepas berkhidmat di peringkat negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dipanggil oleh Perdana Menteri Allahyarham Tunku Abdul Rahman untuk menjadi sebahagian daripada Kabinet Persekutuan.

Beliau berjaya membuktikan kecemerlangannya di dalam semua portfolio yang diberikan termasuk ketika menyandang jawatan sebagai Menteri Perancangan Am dan Penyelidikan Sosio-Ekonomi, Menteri Perusahaan Utama, Menteri Pertahanan dan akhirnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

KETUA MENTERI SARAWAK KE-4

Setelah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat merangkap Menteri Perancangan Sumber pada 26 Mac 1981, Tun Abdul Taib Mahmud meneruskan dasar Politik Pembangunannya dengan melaksanakan projek-projek besar yang membawa pembangunan maksimum kepada Sarawak.

Asas kepada dasar pembangunan dibawa Tun Abdul Taib Mahmud memfokuskan kepada perubahan, peluang, mobiliti dan kesaksamaan kepada semua rakyat Sarawak.

Perjalanannya mengemudi tampuk pentadbiran Sarawak bermula bukan mudah, cukup besar cabarannya kerana menyedari Sarawak merupakan antara tiga wilayah paling kurang membangun di negara ini di samping masalah kadar kemiskinan sekitar 70 peratus.

Ia diberatkan lagi dengan Sarawak masih berdepan ancaman daripada saki-baki pengganas komunis bersenjata.

Oleh itu, beliau telah memperkenalkan konsep ‘The Confluence of Rivers’ untuk menjernihkan politik pembangunan yang pada mulanya agak samar-samar bagi rakyat.

Konsep “The Confluence of Rivers” adalah untuk mendidik rakyat tentang keperluan untuk menghormati antara satu sama lain dalam masyarakat berbilang agama dan kaum di Sarawak.

SARAWAK ALAMI PEMBANGUNAN PESAT

Di bawah tampuk pemerintahan beliau, Sarawak mengalami pembangunan pesat daripada pelbagai sudut.

Kota Samarahan telah ditransformasikan sebagai hab pendidikan selain menubuhkan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) sebagai pemangkin untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui.

Menyedari kepentingan Pembangunan Bakat yang terlatih untuk memajukan lagi Sarawak, beliau telah mengangkat kawasan Kota Samarahan sebagai hab pendidikan yang menempatkan universiti awam pertama Sarawak iaitu Unimas dan diikuti kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan Institut Latihan Perguruan Tun Abdul Razak.

Status Kota Samarahan sebagai hab pendidikan telah mewujud pembangunan pesat di kawasan tersebut seperti perumahan, Hospital Umum Sarawak, Pusat Jantung Kuching, TROPI, Pusat Sains Sarawak dan lain-lain.

Di bawah Tun Abdul Taib Mahmud, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) telah ditubuhkan untuk memanfaatkan potensi besar kuasa Empangan Kuasa Hidroelektrik (HEP) Sarawak.

Melalui RECODA, Lembaga Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) turut diwujudkan bagi melaksanakan projek PPT di seluruh negeri.

Empangan HEP seperti Batang Ai, Bakun dan Murum telah dibina dan buat masa ini empangan HEP Baleh sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang 2027.

Melalui pemanfaatan kuasa dari empangan HEP ini, Sarawak telah dapat menarik berbilion ringgit dalam pelaburan langsung asing (FDI) kerana ia mampu menawarkan tarif yang kompetitif dan sejak itu, Sarawak mampu mengeksport kuasa ke Kalimantan.

Sebagai pemimpin yang berwawasan, Tun Abdul Taib Mahmud turut merancang kedua-dua jalan pantai dan Lebuhraya Pan-Borneo, yang kini telah siap.

PBB TULANG BELAKANG KESTABILAN POLITIK SARAWAK

Kepimpinan penuh visi Tun Abdul Taib Mahmud diterjemahkan beliau dalam mengemudi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tulang belakang kestabilan politik Sarawak dan membawa keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Melalui PBB, Sarawak telah dapat membentuk kerajaan yang sangat stabil dengan parti komponen lain seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Kebolehan Tun Abdul Taib Mahmud bukan lagi perkara asing dan diakui banyak pihak.

Beliau telah dikurniakan anugerah tertinggi Sarawak, iaitu Satria Bintang Sarawak (SBS) yang membawa gelaran Pehin Sri dan anugerah tertinggi negara Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SSM) yang membawa gelaran Tun di atas sumbangan besar beliau kepada pembangunan negeri dan negara.

Pada 3 November 2023, Tun Abdul Taib Mahmud telah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh International Business Review (IBR) Asia Group.

Menurut Premier Sarawak, penganugerahan itu wajar atas jasa dan sumbangannya dalam membangunkan negeri ini.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang sememangnya layak sebagai Bapa Sarawak Moden,” katanya.

Selain itu, beliau juga pernah menerima anugerah khas dari Australia, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Thailand dan Brunei.

TINGGALKAN LEGASI CEMERLANG

Selepas 33 tahun mengemudi dan mengubah wajah Sarawak menjadi wilayah yang moden dan progresif hari ini, Tun Abdul Taib Mahmud akhirnya berundur diri sebagai Gabenor ke-7 Sarawak sejak 25 Januari yang lalu.

Meskipun telah berundur, beliau tetap mengingatkan generasi muda untuk menghargai kestabilan politik semasa.

“Kestabilan politik yang kita kecapi tidak boleh dipandang remeh terutamanya oleh generasi muda.

“Kita mesti terus menghormati pemimpin kita sama seperti kita menghormati ibu bapa kita.

“Dengan cara ini, kita akan dapat terus mentransformasikan Sarawak yang bermatlamat untuk mencapai status maju menjelang 2030,” nasihatnya. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *