‘Store Karbon’ Sumber Pendapatan Baru Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  ‘Store Karbon’ Sumber Pendapatan Baru Sarawak
0 Comments

AHAD, 22 MEI 2022

KUCHING: Sarawak akan memacu pendapatan negeri melalui ekonomi hijau berteraskan tenaga boleh diperbaharui dan kawasan penyimpanan karbon atau ‘Carbon Storage’ di bawah undang-undang tanah seperti yang telah dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata idea dan rancangan bagi pindaan undang-undang di bawah kanun tanah dan hak udara di atas Sarawak akan dikuatkuasakan bagi menyimpan karbon untuk ditanam di bawah tanah tanpa memberikan kesan yang buruk kepada alam sekitar.

“Dunia menghadapi masalah perubahan global, oleh yang demikian selepas pilihan raya yang lepas saya mencadangkan untuk mewujudkan kementerian yang baharu iaitu Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar untuk menjaga alam sekitar,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata melalui dasar yang betul, Sektor Ekonomi Hijau berteraskan tenaga boleh diperbaharui melalui era digital pada masa ini bakal meningkatkan lagi pendapatan Sarawak.

“Di Sarawak kita mesti mepertahankan kehijauan alam sekitar untuk menangkap karbon yang dikeluar dan disimpan dalam tanah.

“Sebab itu, kita pinda tanah kita supaya ada rang undang-undang dan juga undang-undang yang membolehkan kita menyimpan karbon dalam kawasan tanah,’’ ujarnya.

“Tidak seperti tempat-tempat lain di dunia ini kawasan perairan tanah Sarawak merupakan antara tempat yang sesuai untuk menyimpan karbon,’’ tegasnya lagi.

Dalam pada itu, katanya, mana-mana pihak yang ingin melakukan sedemikian di sini akan dikenakan bayaran.

Sementara itu, Premier Sarawak memberitahu, Kerajaan GPS juga akan mengambil langkah jangka panjang demi generasi akan datang dengan menggubal undang-undang bagi melabur lebihan hasil negeri ini melalui penubuhan ‘Sovereign Wealth Fund’.

Merujuk kepada ordinan untuk menubuhkan dana tersebut, beliau menyatakan bahawa pembentangannya di DUN Sarawak akan dibuat pada November depan.

Baru-baru ini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah berkunjung ke Norway untuk mendapat gambaran mengenai cara-cara dana seumpamanya diurus di negara tersebut yang mempunyai nilai terkumpul sebanyak 1.4 trilion Dolar Amerika Syarikat sejak ditubuhkan pada 1996.

Turut Hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *