Naik Taraf Jalan Ladang Kampung Sungai Ba Mula Dilaksanakan
GEDONG: Projek naik taraf Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) di Kampung Sungai Ba, Gedong mula dilaksanakan hari ini selepas melalui proses tawaran semula.
Projek berjumlah RM600,000 ini dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) di bawah peruntukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan dijangka memberi manfaat besar kepada pekebun kecil setempat melalui peningkatan kemudahan infrastruktur jalan ladang.
Kerja-kerja melibatkan pembinaan dan penyiapan jalan berturap batu kelikir sepanjang 1.9 kilometer dengan lebar tiga meter.
Skop pembinaan termasuk lapisan sub-base setebal 300 milimeter menggunakan DCR 75mm, lapisan base setebal 150 milimeter menggunakan DCR 48mm, serta pemasangan non-woven geotextile bagi memastikan kestabilan struktur jalan.
Projek ini dijadualkan siap dalam tempoh empat bulan, bermula pada 8 Ogos 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 8 Disember 2025.
Majlis ringkas sempena permulaan projek turut disertai oleh wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Ba, pemilik jalan ladang, kontraktor pelaksana, wakil DID serta pegawai dari Pejabat Parlimen Batang Sadong.
Menurut wakil DID, projek ini merupakan inisiatif penting untuk menyokong aktiviti ekonomi pekebun kecil dengan menyediakan laluan yang lebih baik dan selamat, khususnya pada musim hujan yang sering menyebabkan jalan sukar dilalui.
Pihak kontraktor turut memberi komitmen untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut jadual dan spesifikasi yang telah ditetapkan, manakala kerjasama daripada penduduk kampung dan pemilik ladang amat dihargai bagi memastikan kelancaran projek.
Dengan siapnya projek ini kelak, ia diharap dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar di kawasan sekitar.-EDISI UKAS