Kerja Pemuliharaan Sungai di Meradong Terus Diperkukuh
SARIKEI: Kerajaan terus memperkukuh usaha meningkatkan kecekapan sistem saliran menerusi pelaksanaan projek pemuliharaan sungai dan anak sungai di Daerah Meradong bagi memastikan kelancaran aliran air serta mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menambah baik infrastruktur saliran bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat.
Menurut beliau, kerja-kerja pemuliharaan yang dilaksanakan melibatkan pembersihan mendapan, halangan serta bahan-bahan yang boleh menjejaskan kelancaran aliran air di sungai.
“Dengan adanya kerja-kerja pemuliharaan ini, saya berharap ia dapat membantu mengurangkan masalah banjir selain memastikan aliran air sungai lebih lancar serta terus terpelihara untuk kegunaan masyarakat setempat,” katanya selepas sesi serah tapak projek tersebut yang diwakili oleh Wong Soon Mee bersama pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), di sini, pada Khamis.
Dato’ Sri Huang turut memaklumkan bahawa tinjauan turut dilaksanakan bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut perancangan serta spesifikasi yang telah ditetapkan.
Tambah beliau, pelaksanaan projek pemuliharaan seperti ini amat penting bagi memastikan sungai sentiasa berada dalam keadaan bersih dan berfungsi dengan baik, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat khususnya ketika musim hujan.
Antara kawasan yang terlibat ialah Sungai Binatang (Palaie) dan Sungai Tulai di kawasan Koperasi Tulai, Meradong.-EDISI UKAS