Lawatan Komuniti Buka Ruang Dialog Bersama Penduduk, Jadi Platform Tinjau Perkembangan Pembangunan Penduduk
SARIKEI: Program lawatan komuniti yang diadakan di beberapa rumah panjang di kawasan Ulu Sarikei Bayong bukan sahaja membuka ruang dialog bersama penduduk, malah menjadi platform meninjau perkembangan pembangunan luar bandar secara lebih dekat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii telah mengadakan lawatan ke rombongan ke enam rumah panjang pada Khamis iaitu Rumah Empaling Lanyau, Rumah Mawas Timbu, Rumah Gandom Balong, Rumah Padang Kasa, Rumah Tayan Gundi dan Rumah Perada Achop.
Berucap pada majlis itu, Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menzahirkan ucapan Hari Gawai kepada masyarakat Iban serta berharap sambutan perayaan itu terus menjadi medium memperkukuh perpaduan dan hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang lebih 10 tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
Menurutnya, pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan ketika ini merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus diperkasa.
“Saya akan terus memperjuangkan pembangunan kawasan luar bandar termasuk pembinaan jalan raya, parit, jalan pertanian serta menaiktaraf laluan kampung dan rumah panjang demi keselesaan penduduk,” ujar beliau.
Dalam lawatan tersebut, Dato Sri Huang turut menyampaikan Projek Pintu kepada jawatankuasa rumah panjang melibatkan keseluruhan 196 pintu sebagai usaha membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar.
Lawatan tersebut turut disertai oleh penduduk dari rumah panjang berhampiran seperti Rumah Landan Brundang dan Rumah Jaman Gana.-EDISI UKAS