Semua Agensi Perlu Main Peranan Perkasa Kemudahan Hospital Betong
BETONG: Semua agensi berkaitan disaran memainkan peranan masing-masing dalam usaha mempertingkatkan kemudahan serta kualiti persekitaran Hospital Betong demi keselesaan pesakit dan petugas kesihatan.
Isteri kepada Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datin Rosemarie Wong berkata, terdapat peningkatan ketara di hospital tersebut berbanding tahun lalu, namun usaha penambahbaikan perlu diteruskan secara bersepadu melibatkan pelbagai pihak.
Beliau berkata, sektor pertanian misalnya boleh membantu dari aspek landskap hospital manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) pula memainkan peranan penting dalam penambahbaikan infrastruktur hospital.
“Harap JKR dapat membantu meningkatkan lagi Hospital Betong dari segi infrastruktur, selain berharap Kementerian Kesihatan turut memainkan peranan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan kebajikan di Hospital Betong sempena Karnival Gawai Bahagian Betong 2026 pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datin Rosemarie turut mencadangkan agar satu program kutipan dana dapat diadakan bagi membantu usaha pembangunan dan penambahbaikan hospital berkenaan pada masa akan datang.
Sepanjang lawatan, rombongan berkesempatan melawat beberapa unit dan wad termasuk wad kanak-kanak, wad lelaki, wad perempuan serta unit hemodialisis.
Kehadiran rombongan turut menceriakan para pesakit dan pelawat hospital melalui sesi beramah mesra yang berlangsung dalam suasana penuh prihatin.
Dalam lawatan itu, sumbangan bakul makanan turut disampaikan kepada pesakit sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap mereka yang sedang menjalani rawatan.
Lawatan tersebut telah dihadiri isteri kepada Residen Bahagian Betong Datin Marilyn Tida.-EDISI UKAS