Final Piala Malaysia: Aidil Mahu Pemain Beri Yang Terbaik
KUALA LUMPUR: Pengendali Kuching City FC (KCFC) Aidil Sharin Sahak mahu pemainnya tampil dengan aksi terbaik pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2025-2026 menentang juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) malam esok.
Menurutnya, pemain harus membuktikan kredibiliti KCFC selaku finalis Piala Malaysia, selain naib juara Liga Super dan layak ke Liga Juara-Juara Asia 2 dengan menghadiahkan kemenangan kepada penyokong Sarawak.
“Peluang begini bukan selalu dapat, kita perlu kerja keras. Pemain perlu ambil peluang ini dan buktikan mengapa kita berada di kedudukan kedua Liga Super, layak ke final Piala Malaysia dan layak ke Liga Juara-Juara Asia 2.
“Berada di sini bukan mudah, kita bukan kelab besar, tiada bintang dan nama besar, hanya bersandarkan kepada kerja keras.
“Saya menggesa pemain untuk memberikan yang terbaik dan paling penting menikmati bola sepak,” katanya dalam sidang media pra perlawanan akhir Piala Malaysia 2025-2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Aidil turut mengingatkan pemain agar tidak terlalu teruja, sebaliknya kekal fokus sepanjang 90 minit bagi mengelak sebarang kesilapan yang boleh mengundang musibah.
Dari segi persiapan, beliau menarik nafas lega kerana tiada pemain mengalami kecederaan dan akan menurunkan pasukan terkuat pada perlawanan itu nanti.
“Kita semua OK, tiada yang mengalami kecederaan. Apa yang penting, kita fokus kepada tactical game plan,” katanya lagi.
Sementara itu, kapten KCFC James Onyekachukwu Okwuosa menegaskan kepada rakan sepasukan agar tidak terlalu memikirkan kelebihan yang dimiliki JDT.
Sebaliknya beliau mahu rakan sepasukan kekal fokus dengan persembahan sendiri, dan paling penting mengekalkan persefahaman dalam padang.
Perlawanan kedua pasukan akan bermula pada jam 9 malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. - EDISI UKAS