Jeti Nelayan Baharu Kampung Masjid Sebuyau Siap, Mudahkan Penduduk
SEBUYAU: Projek pembinaan baharu Jeti Nelayan Kampung Masjid Sebuyau di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Kerajaan Sarawak kini siap sepenuhnya sekali gus memberi manfaat kepada komuniti nelayan dan penduduk setempat.
Projek bernilai RM150,000 itu dilaksanakan oleh pihak kontraktor dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Samarahan sebagai agensi pelaksana.
Pembinaan jeti tersebut bertujuan menyediakan kemudahan lebih selamat dan selesa bagi aktiviti perikanan serta pengangkutan sungai memandangkan sebahagian penduduk masih bergantung kepada laluan sungai sebagai medium perhubungan dan sumber ekonomi harian.
Kemudahan itu turut membantu melancarkan pergerakan bot nelayan serta memudahkan urusan harian penduduk kampung.
Satu lawatan tapak projek siap diadakan pada Jumaat melibatkan wakil JPS Bahagian Samarahan, Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Sebuyau, Pusat Khidmat DUN Sebuyau, ketua masyarakat dan kontraktor bagi meninjau hasil pelaksanaan projek serta memastikan ia siap mengikut spesifikasi ditetapkan.
Penduduk kampung turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan semua agensi terlibat atas pelaksanaan projek yang memberi impak positif kepada kesejahteraan komuniti setempat. -EDISI UKAS