Jualan Agro Sarawakku Sayang Beri Kelegaan Kepada Pengguna Menjelang Musim Perayaan
KUCHING: Penganjuran Jualan Agro Sarawakku Sayang disifatkan sebagai inisiatif tepat pada masanya dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah serta berpatutan menjelang sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidiladha.
Salah seorang pengunjung, Prisca Empiang Robin berkata, program berkenaan memberi peluang kepada pengguna mengurus perbelanjaan dengan lebih baik ketika kos sara hidup dan harga barangan semakin meningkat.
Menurutnya, harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding pasaran semasa sekali gus membantu pengguna berjimat dalam membuat persiapan perayaan.
“Kalau biasanya belanja RM100, menerusi program seperti ini mungkin boleh kurang jadi RM80. Jadi ada lebih penjimatan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semasa program jualan berkenaan di perkarangan Bangunan Baitulmakmur di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Muhammad Hamizan Ramli berkata, lokasi jualan yang mudah diakses serta harga ditawarkan menjadikan program tersebut praktikal untuk pengguna mendapatkan bekalan harian.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membantu menjimatkan perbelanjaan, malah memudahkan orang ramai membeli barangan segar tanpa perlu keluar jauh.
“Program macam ini memang memudahkan orang ramai sebab boleh beli barang keperluan dekat dengan tempat kerja dan harga pun berpatutan,” ujarnya.
Bagi Sufian Mohamad Sahari pula, inisiatif berkenaan membuktikan usaha membantu rakyat masih relevan ketika kos barangan keperluan terus meningkat.
Katanya, perbezaan harga yang ketara berbanding pasaran semasa memberi kelegaan kepada pengguna.
“Saya harap program seperti ini dapat diperbanyakkan lagi supaya lebih ramai masyarakat setempat berpeluang mendapatkan barangan pada harga lebih rendah,” katanya.-EDISI UKAS