Pembangunan Sukan Mampan Angkat Nama Limbang Ke Persada Lebih Tinggi
LIMBANG: Pembangunan sukan yang mampan dan progresif terus mengangkat nama Limbang ke persada yang lebih tinggi melalui pencapaian cemerlang atlet di pelbagai peringkat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kejayaan kontinjen sekolah rendah Limbang muncul johan keseluruhan Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) tahun lalu mencerminkan kekuatan pembangunan sukan yang dibina secara menyeluruh melalui kerjasama erat antara atlet, jurulatih dan ibu bapa.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa walaupun berdepan kekangan geografi, anak-anak Limbang tetap mampu bersaing dan mencipta kejayaan di peringkat lebih tinggi,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Limbang Kali Ke-55 Tahun 2026 pada Khamis.
Katanya, pasukan yang berjaya perlu menjadikan kemenangan sebagai pemangkin untuk terus melakar kejayaan ke peringkat negeri di Samarahan dan seterusnya ke kejohanan kebangsaan MSSM di Pahang.
“Bagi pasukan yang belum berjaya, teruskan usaha kerana dalam sukan tiada istilah kalah, sebaliknya ruang untuk memperbaiki diri dan bangkit lebih kuat,” ujarnya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada 35 kontinjen sekolah rendah di daerah ini atas komitmen dan semangat kesukanan sepanjang kejohanan berlangsung.
Mengulas cabaran penyertaan MSSB yang bertempat di Lawas pada 23 hingga 25 Jun ini, beliau akan menyumbangkan RM20,000 sebagai dana keperluan logistik dan kontijen seramai 45 atlet dan 18 pegawai.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan sokongan berterusan kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Limbang bagi memastikan kebajikan kontinjen terjaga.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Limbang, Siti Mariam Salleh, Guru Besar SK Limbang, merangkap Pengerusi Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) Cawangan Limbang, Awangku Abdul Razak Awangku Yusop, Guru Besar SK Kuala Awang merangkap Pengerusi Pengelola Zon C, Willi Mulok dan Guru Besar SK Kuala Awang merangkap Naib Pengerusi Pengelola Zon D, Mohd Suwardi Ayub.-EDISI UKAS