SLTA Terus Perkasa Pembangunan Tenis Akar Umbi Di Sarawak
KUCHING: Persatuan Lawn Tennis Sarawak (SLTA) terus komited memperkasa pembangunan tenis akar umbi di seluruh negeri menerusi penganjuran kejohanan Sarawak Inter Division 2026 yang menghimpunkan 13 pasukan dari pelbagai bahagian di negeri ini.
Kuching Division Lawn Tennis Association (KDLTA) muncul juara kejohanan berpasukan tersebut, manakala Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak A (PTBS A) muncul naib juara dan Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak B (PTBS B)menduduki tempat ketiga.
Kejohanan tahunan anjuran SLTA itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut dan Sungai), Datuk Henry Harry Jinep.
Presiden SLTA, Dato Patrick Liew Chin berkata kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah platform penting dalam memperkukuh pembangunan tenis di peringkat akar umbi khususnya melibatkan generasi muda.
Menurut beliau, kejohanan Sarawak Inter Division telah dianjurkan secara konsisten sejak lebih 30 tahun lalu dan terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada komuniti tenis di seluruh negeri.
Katanya, penyertaan pasukan dari Kuching, Sibu, Miri, Bintulu, Kapit, Mukah, Sarikei dan Samarahan membuktikan sukan tenis masih relevan dan terus berkembang di Sarawak.
“Walaupun sukan pickleball semakin popular, tenis masih kekal relevan dan mendapat sambutan baik.
“Kita perlu terus mempromosikan sukan ini agar kekal berkembang pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan berkenaan pada Ahad.
Tambah beliau, SLTA akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan pemain junior dan menggalakkan setiap bahagian memperkasa program akar umbi bagi memastikan kesinambungan bakat tenis di Sarawak.
Dalam pada itu, Dato Patrick turut melahirkan rasa gembira melihat peningkatan penyertaan generasi muda serta bekas pemain tenis yang turut membawa keluarga dan anak-anak menyertai kejohanan tersebut.
Menurutnya, kejohanan itu juga menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli gabungan SLTA sempena sambutan Gawai Dayak selain berlangsung serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan. -EDISI UKAS