Jambatan Bandar Lawas Capai 97.27 Peratus, Dijangka Siap September Ini
LAWAS: Projek Jambatan Bandar Lawas kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 97.27 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan serta pertumbuhan ekonomi di kawasan seberang bandar Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata beberapa kerja tambahan sedang dilaksanakan bagi memperindah dan menambah baik kemudahan di jambatan tersebut sebelum ia dibuka sepenuhnya kepada pengguna.
“Setakat ini, progres projek telah mencapai 97.27 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan September.
“Kita juga melaksanakan beberapa pertambahan bagi mengelokkan lagi jambatan ini supaya ia memberi manfaat yang lebih baik kepada rakyat,” katanya ketika meninjau perkembangan projek tersebut, pada Ahad.
Menurut beliau, jambatan sepanjang 642 meter itu bakal mengurangkan masa perjalanan ke bandar Lawas selain mewujudkan hubungan yang lebih baik antara kawasan bandar dengan kawasan seberang seperti Merapok dan laluan ke Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menambah, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan rangkaian jalan pesisir utara yang akan melengkapkan hubungan jalan raya di kawasan utara Sarawak.
“Apabila siap nanti, jambatan ini akan memudahkan perancangan pembangunan di kawasan seberang dan menjadi sebahagian daripada usaha kita untuk membesarkan serta membangunkan Bandar Lawas pada masa hadapan,” ujarnya.
Projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) itu melibatkan kos kontrak lebih RM149 juta dan merangkumi pembinaan jambatan ikonik dengan struktur menara gerbang setinggi 44.3 meter, sistem kabel gantung serta jaringan jalan utama dan jalan.-EDISI UKAS