Program Jangkauan Komuniti Tingkat Kesedaran Orang Awam
MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin menyertai Program Jangkauan Komuniti bersama Pasukan Perkhidmatan Bergerak SUPP Senadin di Desa Bahagia, Vista Perdana pada Ahad.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kesiapsiagaan kecemasan, inisiatif bantuan kerajaan serta projek pembangunan komuniti.
Dalam program itu, beliau bersama pasukan perkhidmatannya mengedarkan pelekat nombor telefon kecemasan yang mengandungi maklumat penting bagi membantu penduduk mendapatkan akses kepada perkhidmatan ketika berlaku kecemasan.
Pada masa sama, Dato Sri Lee dan pasukannya turut berkongsi maklumat mengenai pelbagai inisiatif kerajaan yang berteraskan rakyat termasuk Senior Citizen Health Benefit (SCHB), Sarawak Basic Needs Assistance (SKAS), Free Tertiary Education Scheme (FTES) serta program kebajikan dan pembangunan lain yang diperkenalkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Beliau menggalakkan orang ramai untuk sentiasa mendapatkan maklumat mengenai skim bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak agar individu dan keluarga yang layak dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang ditawarkan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak kekal komited melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati kemudahan dan bantuan yang disediakan.
Selepas program jangkauan komuniti tersebut, beliau mengadakan lawatan ke beberapa taman rekreasi dan kemudahan awam di kawasan DUN Senadin termasuk di Vista Perdana dan Milea Residence bagi menilai keadaan semasa serta mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan.
Antara kemudahan yang ditinjau ialah pembinaan bumbung di gelanggang bola keranjang Vista Perdana, pembinaan taman rekreasi di Milea Residence serta cadangan kerja-kerja naik taraf di taman-taman lain bagi menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif untuk aktiviti sukan dan kemasyarakatan.
Beliau berkata, kemudahan rekreasi yang berkualiti memainkan peranan penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat, mengukuhkan hubungan komuniti serta menyediakan ruang yang selamat untuk aktiviti riadah.
Dalam lawatan yang sama, beliau turut mengunjungi Terminal Bas Miri Sentral bagi meninjau kemudahan dan mendapatkan maklum balas daripada penumpang yang pulang serta melakukan perjalanan selepas sambutan Hari Gawai.
Turut mengiringi beliau ialah Kaunselor Toh Kah Shiong, Kaunselor Hiung Chien Yii, Kaunselor Raymond ak Jenang, Kapitan Chong Ah Muk, Kapitan Chong Khee Fah, Kapitan Connie Tang Tung Ming serta beberapa wakil belia.-EDISI UKAS